Friday 17 February 2017

PENGENALAN AHLI KUMPULAN

                                                           

                                                                     
                                                 
             NAMA: DINISH RAJ A/L SIVARAJ
                                                     
             NO KAD MATRIX: 16DEE16F1073









              NAMA: DEVANDRAN A/L RAVINDRAN

              NO KAD MATIRX : 16DEE16F1999

KESIMPULAN

    Tokoh kemerdekaan negara telah banyak berjasa dalam memperjuangkan kemerdekaan untuk Tanah Melayu.Terdapat ramai tokoh yang dapat dijadikan “role model “ atau idola kepada generasi kini dan yang akan datang.Segala pengorbanan , rintangan , dan penat lelah mereka berbakti untuk negara patut dicontohi dan dijadikan panduan.

     Kemerdekaan yang dicapai pada 31 Ogos 1957 bukanlah satu proses yang mudah untuk dicapai.Matlamat kemerdekaan itu hanya dapat dicapai setelah melalui satu proses yang sangat panjang.

     Keamanan negara ini sangat penting dalam usaha negara ini menjadi sebuah negara yang maju pada menjelang tahun 2020.Antara faktor utama kejayaan ini ialah melalui situasi keamanan dan kesejahteraan negara seniaa terjamin.Dalam nada yang sama , kita seharusnya memahami dan menghayati peristiwa sejarah negara ini yang dijajah dan memerlukan kekuatan bagi menjamin penjajahan ke atas negara ini tidak akan lagi berlaku.


     Oleh itu , diharapkan agar semua warga negara ini akan sentiasa mematuhi undang-undang , menjaga maruah negara dan menghargai jasa tokoh yang telah banyak berjuang bagi mencapai kemerdekaan.

Thursday 26 January 2017

TOKOH PEJUANG KEMERDEKAAN PAHANG ,KELANTAN DAN PERAK

                                     
                         TOKOH PEJUANG KEMERDEKAAN PAHANG  



 

MAT KILAU

Nama penuh beliau adalah Mat Kilau bin Imam Rasu. Mat Kilau dipercayai lahir dalam tahun 1865/1866 di Kampung Masjid, Pulau Tawar, Jerantut, Pahang. Mat Kilau amat mahir di dalam ilmu kebatinan, persilatan dan bermain senjata. Beliau mempunyai sifat-sifat seorang pemimpin dan pemikiran yang matang telah menjadikan beliau seorang pemuda yang sangat disegani dan dihormati oleh penduduk negeri Pahang. Segala cabaran yang berjaya dilalui oleh Mat Kilau semasa menentang pihak British membuatkan pelbagai pihak menyanjung tinggi kepahlawanan beliau. 




 

TOK GAJAH

Tok Gajah adalah ayah kepada Pahlawan Melayu Pahang iaitu Mat Kilau. Pada tahun 1891 hingga tahun 1895 telah berlaku pemberontakan Pahang terhadap pemerintah negerinya. Tok Gajah merupakan tokoh yang terlibat bersama dengan Datuk Bahaman, Mat Kilau dan Datuk Lela menentang penjajah Inggeris. Beliau bertindak menghalau penjajah Inggeris dengan segala tipu helahnya yang hendak merampas pemerintahan negeri Pahang. Beliau mempunyai semangat perjuangan yang gigih serta sanggup berdepan dengan askar-askar Inggeris yang lengkap bersenjata.

Beliau juga bersama dengan Wan Lingga telah diarahkan oleh Bendahara Wan Ahmad untuk menyerang Maharaja Perba dan Orang Kaya Setia Lela. Ini adalah disebabkan perselisahan faham antara Maharaja Perba dengan Bendahara. Beliau pernah diutuskan ke Singapura bagi mendapatkan khidmat peguam sebagai penasihat Sultan Ahmad. Beliau juga menjadi ketua pasukan perang Sultan Ahmad dalam menentang penjajah Inggeris.

Golongan ketiga di negeri Pahang yang menjadi pemilik tanah yang penting dan berkuasa di kawasan-kawasan tertentu dikenali sebagai Orang Besar Raja. Golongan ini juga merupakan orang kesayangan istana tetapi bukan berketurunan bangsawan dan dinaikkan pangkat berdasarkan kepada kecekapan serta kemahirannya dalam bidang ketenteraan.

Tok Gajah dan Tuan Sheikh Kechil merupakan dua orang tokoh yang terpilih mengikut kategori tersebut. Tok Gajah mempunyai pengaruh yang luas dan sangat dihormati serta ditakuti oleh orang-orang Inggeris. Beliau merupakan penasihat utama Sultan dalam segala yang berkaitan dengan Hulu Pahang, iaitu hal-hal yang berhubung dengan kawasan-kawasan di hilir sungai dari Pulau Tawar. 




              TOKOH PEJUANG KEMERDEKAAN KELANTAN 

 

TOK JANGGUT

Haji Mohd Hassan bin Panglima Mat Munas yang lebih dikenali sebagai Tok Janggut kerana memelihara janggut sampai ke paras dada adalah seorang pahlawan Melayu yang terkenal di Kelantan. Dilahirkan pada 1853, beliau ialah seorang penentang penjajahan British semasa menentang pengenaan cukai oleh pihak British di Kelantan. Beliau juga merupakan tokoh agama Islam yang berjaya menarik sokongan banyak pengikut di Kelantan. 





           TOKOH PEJUANG KEMERDEKAAN PERAK   



                                            DATO’ MAHARAJA LELA PANDAK LAM

Dato’ Maharaja Lela Pandak Lam ialah seorang pembesar kelapan Perak yang berketurunan Daeng Salili. Beliau adalah anak Raja Bugis yang berasal dari Daerah Luwuk, Sulawesi. Semasa pemerintahan Sultan Muzaffar Shah III, beliau datang ke Perak dan dilantik sebagai mufti serta dianugerahkan gelaran “Dato’ Maharaja Lela Tan Lela”, dengan kuasa boleh memancung tanpa bertanya. Pandak Lam kemudian mengetuai perjuangan menentang British di Perak dan membuat pakatan untuk membunuh James Wheller Woodfird Birch (J.W.W. Birch), Residen British Perak. 


SUMBER RUJUKAN:
1) https://www.google.com/
2) https://www.wikipedia.org/
3) https://www.youtube.com/



             



TOKOH PEJUANG KEMERDEKAAN NEGARI SABAH, SARAWAK DAN TERENGGANU

TOKOH PEJUANG KEMERDEKAAN NEGERI SABAH



 

 MAT SALLEH

Mat Salleh atau nama sebenarnya Datu Mat Salleh merupakan pejuang Sabah yang terkenal dalam memberi tentangan yang hebat kepada penjajahan Inggeris di Sabah. Detik perjuangan Datu Mat Salleh menentang pencerobohan dan keganasan Kompeni Hindia Timur Inggeris bermula pada bulan Julai 1897. Dalam masa pertempuran itu, Mat Salleh yang telah mengetuai pemberontakan selama enam tahun menemui ajalnya pada 31 Januari 1900. Pada pandangan British, Mat Salleh dianggap sebagai seorang pemberontak, tetapi bagi rakyat tempatan, dia ialah pejuang kemerdekaan dan seorang pahlawan.





ANTANOM

Antanom menggerakkan pemberontakan Rundum menentang penjajah pada tahun 1915. Antanom atau Ontoros dilahirkan di kawasan “Masinpunon” sungai Salarom pada tahun 1885 dan berumur dalam lingkungan 30 tahun ketika pemberontakan itu dilancarkan. Antanom adalah anak keturunan Suku Murut Tagol dari golongan bermartabat mengikut adat istiadat kaum murut. Dia dibesarkan dalam zaman daerah kampungnya dilanda oleh persengketaan kaum dan oleh ancaman pemburu kepala kaum Dayak dari kawasan perbatasan atau dikenali dengan istilah ” Pengayau “.

Didikan yang diterimanya ialah mengenal kehidupan rimbanya dan bermain senjata. Jiwanya dibentuk agar menjadi seorang kalawon atau pahlawan dan semangat sedia berkorban telah disemai dalam hidupnya supaya bertanggungjawab melindungi keluarga dan kaumnya.
Perwatakan Antanom/Ontoros yang berbadan tegap berambut panjang itu, bila lengkap berpakaian tradisi, bercawat dengan tombak ditangan dan Pailang tersisip dipinggang, dia kelihatan gagah dan mengerunkan. Sikapnya tegas dan tenang dalam menghadapi bahaya. Bila dia telah memutuskan sesuatu, dia akan kotakan kata-katanya dan bertindak dengan penuh keazaman.

Antanom dikagumi bukan saja kerana kehebatannya menggerakkan pemberontakan menentang Kompeni Inggeris itu, tetapi lebih kepada kewibawaannya menyatupadukan kaumnya yang ketika itu sedang dilanda sengketa dan perpecahan. Inggeris sendiri mengakui keistimewaan Antanom mendamai dan menyatupadukan suku-suku Murut yang bermusuhan itu.

Faktor yang menyebabkan tercetusnya penentangan kaum Murut terhadap Kompeni Inggeris didorong oleh beberapa sebab yang telah terkumpul dan menjadi bara. Sejak tahun 1909 gerakan menentang Inggeris sudah dimulakan oleh kaum Murut, tetapi setelah dua orang pemimpinnya terbunuh, Linggam dan Melayak, gerakan penentangan itu terhenti buat sementera waktu.

Kemarahan dan kegelisahan kaum Murut terhadap Kompeni Inggeris berpunca dari empat perkara utama. Hak mereka dicerobohi, bila ramai daripada pedagang hasil hutan dibenarkan mengutip hasil hutan di pedalaman. Mereka dijadikan buruh paksa membina jalan denai ( Jalan Kuda ) dan merentang kawat telegraph antara Tenom ke Rundum tanpa upah. Upah yang diberikan kepada mereka sekadar rokok tembakau sahaja. Mengenakan cukai kepala, padi dan tapai juga menyumbang kepada kemarahan mereka. Semuanya ini pada pandangan mereka adalah tidak wajar. Kehidupan mereka yang merdeka dan bebas di kawasan belantara luas itu telah terganggu.

Keadaan bertambah buruk lagi pada tahun 1910 apabila Kompeni Inggeris menghantar buat pertama kalinya seorang Pegawai Daerah Mazwell Hall, membuka setesen di Rundum, sebagai langkah menyekat kegiatan memburu kepala. Seramai tidak kurang 900 orang kaum Murut dari beberapa kawasan, termasuk Tenom, Keningau, Pensiangan dan perbatasan daerah Borneo Belanda, telah menyertai gerakan pemberontakan itu. Dalam pertempuran di kubu induk mereka, Antanom/Ontoros diperdaya dengan gencatan senjata dan niat untuk berdamai, tetapi sebaliknya mata-mata upahan Inggeris telah memenggal kepalanya.



        TOKOH PEJUANG KEMERDEKAAN NEGERI SARAWAK 



 RENTAP

Rentap merupakan seorang pahlawan Dayak (Iban) terkenal dalam sejarah Sarawak. Pada tahun 1853, beliau merupakan salah seorang pemimpin penentang kepada pemerintahan Raja Putih Brooke. Rentap atau nama sebenarnya Libau menjadi ketua pahlawan Iban di Skrang dan Sariba. Gelaran Rentap yang bermaksud Ensumbar dalam bahasa Iban atau membuat dunia bergegar diberikan kepada Libau selepas beliau memenggal kepala musuh dalam perang pertamanya.



TOKOH PEJUANG KEMERDEKAAN NEGERI TERENGGANU

 

 HAJI ABDUL RAHMAN ABDUL HAMID


Haji Abdul Rahman Abdul Hamid atau lebih terkenal dengan panggilan Tok Limbong atau Abdul Rahman Limbong merupakan salah satu nama besar dalam sejarah Melayu Terengganu.

Selain memimpin gerakan yang dikenali sebagai “Pemberontakan Tani Terengganu”, Tok Limbong juga terkenal sebagai seorang ulama dan pendakwah yang dihormati, ahli perniagaan dan pengusaha yang berjaya dan seorang petani yang gigih.

Beliau juga pernah tampil untuk membela sekumpulan pejuang yang dilabel Inggeris sebagai pemberontak dan penderhaka raja. Tok Limbong mendalami ilmu keagamaan selepas dihantar oleh keluarganya ke Mekah.

Sebelum terbabit dengan kebangkitan penduduk menentang British, Tok Limbong yang dilahirkan sekitar 1880-an di Kampung Beladau Kolam, Kuala Terengganu, meluangkan sebahagian besar masanya mengendalikan perniagaan di pesisiran Laut China Selatan dan mengajar agama di beberapa tempat, termasuk di sebuah surau di Kampung Kubang Kurus, dekat Kuala Terengganu.

Walaupun surau berkenaan tidak lagi wujud, penduduk setempat mengabadikan sebuah perigi lama di sebelah bekas tapak surau itu dengan nama “Telaga Limbong” kerana air perigi itulah digunakan Tok Limbong untuk bersuci diri setiap kali berada di kampung itu.

Pembabitan Tok Limbong dalam penentangan terhadap penjajah bermula apabila beberapa peraturan berhubung pemungutan hasil mahsul tanah dan hutan dikuatkuasakan oleh Sultan Terengganu di bawah tekanan Inggeris di Hulu Terengganu, Kuala Nerus dan Dungun pada sekitar 1921.

Di bawah peraturan itu rakyat ditegah menerokai tanah untuk tujuan pertanian dan dikehendaki memiliki pas atau lesen untuk mengambil daun mengkuang untuk membuat tikar, daun lerek dan buluh untuk membuat lemang, daun palas untuk membuat ketupat dan menebang sagu untuk patinya



SUMBER RUJUKAN:
1) https://www.google.com/
2) https://www.wikipedia.org/ 
3) https://www.youtube.com/









Wednesday 25 January 2017

TOKOH PEJUANG KEMERDEKAAN NEGARA MALAYSIA


 

TUNKU ABDUL RAHMAN PUTRA

Ibarat kata pepatah Melayu ”Harimau mati meninggalkan belang, manusia mati meninggalkan nama”. Begitulah ungkapan yang paling bererti untuk mengenang jasa dan sumbangan negarawan ulung Tunku Abdul Rahman Putra. Sepanjang hayatnya, Tunku telah menunjukkan kehebatan sebagai pemimpin yang berwibawa dalam pelbagai bidang, seorang pejuang yang berjiwa kental dan mempunyai semangat jati diri yang tinggi untuk membebaskan negara dari cengkaman penjajah. Penglibatan menentang Malayan Union, mengemudi kepimpinan UMNO melalui perubahan slogan dari Hidup Melayu kepada Merdeka, mengatur strategi pakatan antara kaum dengan kerjasama pihak Majlis Raja-Raja Melayu telah membuktikan kepimpinan Tunku sehingga berjaya mencapai kemerdekaan secara aman melalui meja rundingan. Liku, cabaran, perit jerih terbayar dek nikmat kemerdekaan yang diwarisi sehingga kini dan kita sebagai rakyat Malaysia perlu merasa terhutang budi kepada Tunku – Bapa Kemerdekaan.  




                                                           
                                                            TUN SIR HENRY H.S LEE

Ketokohan, pengorbanan dan jasa Tun Sir Henry H.S. Lee dalam mencapai perpaduan kaum dan kemerdekaan negara amat terserlah dan perlu dikenang selama-lamanya. Beliau memainkan peranan yang penting dalam penubuhan MCA, perancang utama penubuhan perikatan UMNO-MCA, penentang komunis di zaman darurat dan merupakan pejuang negara semasa menuntut Kemerdekaan Malaya. Apabila Malaya merdeka, beliau telah dilantik sebagai Menteri Kewangan antara tahun 1957 hingga 1959. Sesungguhnya, jasa dan pengorbanan beliau telah menjadi salah satu kebanggaan negara.  



 

TUN V.T. SAMBANTHAN

Tun V.T. Sambanthan merupakan seorang pejuang daripada masyarakat India yang dilahirkan pada 16 Jun 1919 di kawasan pedalaman di Sungai Siput, Perak. Kepimpinan beliau terserlah apabila dilantik menjadi Presiden Kongres India Malaya ketika berusia 36 tahun. Kemudian Tun V.T. Sambanthan dilantik menjadi menteri penuh dalam pelbagai kementerian. Sepanjang tempoh menjadi menteri kabinet begitu banyak jasa yang telah dicurahkan oleh Tun V.T. Sambanthan terutama berkaitan dengan perpaduan rakyat yang berbilang kaum dan dari segi kemudahan kepada rakyat serta semangat patriotisme pada masa itu. 



SUMBER RUJUKAN:
1) https://www.google.com/
2) https://www.wikipedia.org/
3) https://www.youtube.com/



SEJARAH KEMERDEKAAN

E-FOLIO DUB 2012 NILAI MASYARAKAT MALAYSIA 

TAJUK: PENJUANG KEMERDEKAAN
NAMA PENSYARAH : PUAN SITI AISHAH BINTI OTHMAN






SEJARAH KEMERDEKAAN

Suara tuntutan kemerdekaan telah lama kedengaran. Malangnya setelah Jepun menyerah kalah pada 15 Ogos 1945 apabila Hiroshima dan Nagasaki dibom, penjajah Inggeris kembali ke Tanah Melayu dengan niat menjadikan Tanah Melayu sebagai sebuah koloni. Di Tanah Melayu, penyerahan kuasa secara rasmi oleh Jepun kepada Inggeris dibuat di Victoria Institution, Kuala Lumpur pada 22 Februari 1946. Inggeris telah memperkenalkan Malayan Union yang memberikan hak sama rata khususnya dalam isu kerakyatan kepada semua penduduk tanpa mengira keturunan dan kesetiaan mereka terhadap negara.

Perjanjian Persekutuan yang ditandatangani oleh Raja-Raja pada 21 Januari 1948 berjaya mengembalikan Tanah Melayu ke pangkuan orang Melayu; kedaulatan raja-raja, hak keistimewaan dan hak kewarganegaraan.

Malayan Union ternyata mendatangkan kerugian dan meminggirkan hak kaum Melayu dan bumiputera sebagai penduduk asal negara ini serta menjejaskan institusi dan fungsi Raja-Raja Melayu. Oleh itu, cadangan Inggeris memperkenalkan Malayan Union mendapat tentangan hebat seluruh orang Melayu termasuk Majlis Raja-Raja. Datuk Onn telah mengumpulkan lebih 200 perwakilan Melayu dalam Kongres Melayu Seluruh Tanah Melayu pada 1 – 4 Mac 1946 di Kelab Sultan Sulaiman, Kuala Lumpur. Sebuah jawatankuasa yang dianggotai oleh tokoh-tokoh seperti Dato Onn Jaafar, Dato Panglima Bukit Gantang, Dato Nik Ahmad Kamil, Dato Hamzah Abdullah dan En. Zainal Abidin (Za’ba) ditubuhkan.

Kongres bersetuju dengan cadangan untuk menubuhkan sebuah pertubuhan yang dinamakan United Malays National Organisation (UMNO) atau Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu (PEKEMBAR) yang akan dibentangkan dalam kongres akan datang. Dalam Kongres Melayu Seluruh Tanah Melayu Ke-3 di Johor Bharu Dato’ Onn Jaafar mengumumkan penubuhan UMNO pada 11 Mei 1946. penubuhan ini bertujuan untuk memperjuangkan sebuah negara Malaya merdeka dan berdaulat, memajukan dan memelihara kepentingan orang Melayu dan rakyat Malaya dan memelihara dan mempertahankan agama dan adat resam Melayu serta kedudukan institusi Raja-Raja Melayu.

Penentangan mereka berjaya mengubah Malayan Union kepada Perjanjian Persekutuan yang ditandatangani oleh Raja-Raja pada 21 Januari 1948 yang mengembalikan Tanah Melayu ke pangkuan orang Melayu; kedaulatan raja-raja, hak keistimewaan dan hak kewarganegaraan. Perjuangan orang Melayu berjaya membentuk Persekutuan Tanah Melayu yang mengandungi 9 buah negeri Melayu iaitu Selangor, Perak, Kedah, Perlis, Negeri Sembilan, Johor, Pahang, Terengganu, Kelantan, dan Negeri-Negeri Selat iaitu Pulau Pinang dan Melaka. Ia diketuai oleh Pesuruhjaya Tinggi British yang mempunyai kuasa eksekutif dan dibantu serta dinasihati oleh Majlis Mesyuarat Kerja Persekutuan dan Majlis Mesyuarat Undangan Persekutuan. 

SUMBER RUJUKAN:
1) https://www.google.com/
2) https://www.wikipedia.org/




PENGISYTIHARAN KEMERDEKAAN TANAH MELAYU 

Pada 31 Ogos 1957 bertempat di stadium yang baru dirasmikan iaitu Stadium Merdeka, Kuala Lumpur telah menyaksikan peristiwa bersejarah bagi Tanah Melayu iaitu secara rasminya penyerahan pemerintahan Persekutuan Tanah Melayu daripada pemerintahan British kepada warganegara Tanah Melayu.

Hujan lebat yang turun sejak 3 pagi menyukarkan pergerakan dan sehingga 6.30 pagi, stadium masih belum dipenuhi oleh pengunjung. Ini menyebabkan upacara telah ditangguhkan selama sejam dan pengumuman majlis bermula kedengaran bukan pada pukul tujuh seperti yang dijangka tetapi pada pukul lapan. 2,000 orang tentera Persekutuan menumpang di sekolah-sekolah berhampiran stadium sebelum itu berarak dalam hujan dan tujuh batalion yang membuat perarakan ketika itu iaitu Rejimen Persekutuan, Skuadron Isyarat, Skuadron Jurutera, Tentera Laut Diraja Tanah Melayu, Tentera Laut Simpanan Diraja Tanah Melayu dan Askar Sivil Persekutuan.

Pada pukul 8, para media telah diberi pengumuman untuk bersedia dan semua peralatan kamera dan media ketika itu dipasang dengan perlindungan plastik atau pelapik kalis air lain di sekitar padang yang lembap. Kebetulan, hujan reda yang memungkin segala persiapan sebelum upacara bermula dapat dijalankan dengan mudah. Pengunjung bertambah ramai untuk menyaksikan upacara bersejarah ini.

Antara kumpulan pengunjung yang tiba di stadium adalah Kadet, Pengakap Laut (dengan pakaian putih, topi putih dan seluar pendek berwarna biru), Pandu Puteri (berpakaian biru muda), Pengakap (dengan kain skaf, berwarna merah dan emas, merah dan hitam, merah dan biru, merah dan putih), Pasukan Briged St. John's Ambulance dan Palang Merah British turut mengambil tempat di sisi stadium manakala kumpulan pancaragam dan pengawal kehormat berada di susur terowong masuk.

Kemudian, tetamu-temamu kehormat mula tiba Lord Chancellor dari England berpakaian yang sama seperti ketika dia menjadi hakim Mahkamah Tinggi Persekutuan. Pemangku Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan merupakan Raja Melayu yang pertama berangkat tiba diikuti Tengku Mahkota Johor (dalam pakaian uniform tentera baginda) yang menggantikan Sultan Johor, Sultan Perak (berpakaian berwarna krim), Sultan Terengganu (berpakaian emas bersama merah gelap dan hijau), Sultan Kelantan (berpakaian emas pucat), Sultan Kedah (berpakaian biru dan perak) Raja Perlis (berpakaian emas), Sultan Pahang (berwarna merah senduduk dan dan perak) serta yang akhir sekali, baginda Yang di-Pertuan Agong yang berpakaian perang serta memakai keris yang baru. Setiap daripada baginda diiringi bunyi nafiri dan berdiri di bawah payung kuning keemasan sambil Yang di-Pertuan Agong berjalan ke tempat duduk baginda. Pengunjung stadium masih lagi berdiri apabila Duke of Gloucester masuk sambil diiringi Sir Donald MacGillivray. Dengan ketibaan semua tetamu diraja, upacara Pengisytiharan dimulakan.

Adikung Duke membawa watikah perlembagaan yang menyatakan pengunduran daripada perlindungan British terhadap negeri-negeri Melayu dan kedaulatan terhadap Pulau Pinang dan Melaka. Raja-raja Melayu mula melangkah ke pentas dan Duke mengambil tempat di depan pentas sambil menerima hormat diraja sambil diiringi oleh Sir Donald MacGillivray. Ketika itu merupakan kali terakhir satu-satu upacara negara menyanyikan lagi kebangsaan British di Persekutuan Tanah Melayu. Kemudian, baginda Duke membacakan perutusan daripada baginda Ratu Elizabeth II akan pernyataan baginda yang mengalukan kemasukan Persekutuan ke dalam Komanwel dan mendoakan kejayaan negara ini.

Kemudian, Perdana Menteri Tunku Abdul Rahman bangun dari tempat duduknya dan menerima watikah perlembagaan sebagai lambang penyerahan kuasa pemerintahan sepenuhnya kepada Persekutuan Tanah Melayu. Duke mengambil tempat duduk dan Tunku mulakan ucapannya dalam bahasa Inggeris. Setelah Tunku mengucapkan penghargaan kepada Great Britain atas pertolongan untuk mencapai kemerdekaan, beliau mula membaca teks "Pemasyhuran Kemerdekaan".

Pengisytiharan itu disambut dengan laungan "MERDEKA" sebanyak 7 kali sebagai Perdana Menteri Persekutuan Tanah Melayu yang pertama di hadapan 20 ribu rakyat Persekutuan Tanah Melayu dan Raja-rajanya serta perwakilan dari 30 negara-negara Komanwel dan negara-negara asing lainnya. Bendera Persekutuan Tanah Melayu telah dinaikkan dengan iringan Lagu Kebangsaan Negaraku yang buat pertama kalinya diperdengarkan secara rasmi dalam sebuah negara baru. Diikuti pula selepas itu dengan seruan azan oleh tokoh agama Islam iaitu Datuk Hassan Azhari sebagai simbolik lahirnya sebuah negara baru dimana Islam, merupakan agama rasmi Persekutuan Tanah Melayu dan tembakan meriam seratus satu das.

Dengan bunyi nobat nafiri, Yang di-Pertuan Agong diiringi oleh Duke of Gloucester, berangkat pergi dari pentas diikuti pemerintah Melayu yang lain, Perdana Menteri dan Sir Donald MacGillivray. Kemudian, Doa Selamat dibacakan bagi memohon keberkatan dan keredhaan Allah terhadap sebuah negara yang baru dilahirkan


Dengan pengisytiharan itu, maka berakhirlah penjajahan Inggeris dan kuasa Baginda Ratu Elizabeth II ke atas Persekutuan Tanah Melayu termasuk Pulau Pinang dan Melaka iaitu sejak lebih 170 tahun. Pada hari itu juga Pesuruhjaya Tinggi British yang terakhir di Persekutuan Tanah Melayu, Sir Donald MacGillivray dan isterinya telah meninggalkan negara ini dan pulang ke England.



 


SUMBER RUJUKAN: 
1) https://www.google.com/
2) https://www.wikipedia.org/
3) https://www.youtube.com/